HARI CUCI MALAYSIA PERINGKAT NEGERI KELANTAN KUTIP 1,200 KILOGRAM SAMPAH
Hari Cuci Malaysia peringkat Negeri Kelantan kutip 1,200 kilogram sampah.
Pasir Mas, 27 September – Sebanyak 1,200 kilogram (kg) sampah berjaya dikutip menerusi Program Hari Cuci Malaysia 2026 Peringkat Negeri Kelantan yang diadakan di empat lokasi, semalam.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata jumlah berkenaan melepasi sasaran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang menetapkan setiap negeri mengutip sekurang-kurangnya 1,000kg sampah.
Katanya, program berkenaan diadakan di Pasir Mas, Kota Bharu, Pasir Puteh dan Gua Musang.
"Di Pasir Mas kita berjaya mengutip sebanyak 400kg sampah, di Kota Bharu juga 400kg sampah, di Pasir Puteh 300kg dan Gua Musang 100kg."
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Hari Cuci Malaysia 2026 Peringkat Negeri Kelantan yang berlangsung di Bandar Tasek Raja Pasir Mas, di sini, semalam.
Menurutnya, program berkenaan turut menekankan kepentingan menjadikan amalan gotong-royong sebagai gaya hidup baharu dalam kalangan penduduk Kelantan.
"Kita mahu jadikan budaya gotong-royong sebagai satu program peringkat komuniti supaya tidak diletakkan lagi beban pembersihan kepada pihak berkuasa tempatan semata-mata.
"Dengan ini kita dapat melahirkan rakyat yang dapat menjaga kebersihan," katanya.
Menurut YB Hilmi lagi, program Cuci Malaysia dimulakan pada tahun 2024 dan tahun ini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya.
Katanya, pada tahun ini peserta disasarkan sejumlah 200,000 orang di seluruh negara, manakala sasaran kutipan sampah adalah antara 10 hingga 15 tan bagi mencipta rekod dalam Malaysia Books of Records.
"Harapan kita pada program Cuci Malaysia ini, di mana ia diadakan setahun sekali. Kita mahu jadikannya sebagai simbolik untuk sentiasa meningkatkan kesedaran.
"Insya Allah dengan adanya simbolik hari ini, kita minta semua PBT meneruskan kerja-kerja pembersihan awam di kawasan masing-masing dan menganjurkan program gotong-royong melibatkan semua peringkat komuniti, agensi-agensi di kawasan masing-masing, sekolah-sekolah, surau-surau dan sebagainya untuk dijadikan sebagai pelapis dalam menjayakan agenda KelantanKu Bersih," katanya.
Terdahulu, beliau merasmikan Program Hari Cuci Malaysia 2026 Peringkat Negeri Kelantan yang berlangsung di Bandar Tasek Raja, Pasir Mas, semalam.
Program anjuran Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) sempena World Cleanup Day 2026 itu berteraskan tema "Kelantan Bersih, Rakyat Sihat, Negeri Berkat" bagi memupuk kesedaran sivik dan amalan hidup bersih dalam kalangan masyarakat.
Antara pengisian utama program ialah aktiviti gotong-royong dan pembersihan, inisiatif kitar semula serta pengurusan sisa, selain aktiviti kemasyarakatan dan kesedaran seperti sesi senaman "Chairobic", Program Penukaran Topi Kaledar, Program Mewarna Kanak-Kanak, pameran dan kaunter perkhidmatan agensi serta acara cabutan bertuah.
Hadir sama, Yang Dipertua MDPM Fazrul Azan Mohd Basari dan Ketua Whip Ahli Majlis MDPM Abdul Fattah Harun.
- Created on .
- Hits: 6